Periwayatan Alkitab Penawanan Babylonia

Sebahagian turutan rencana mengenai
Orang Yahudi dan Agama Yahudi
 
Siapakah seorang Yahudi? · Etimologi · Budaya
Papan batu tanah liat. Tulisan pepaku Akadia menyenaraikan jumlah makanan yang diberikan dan menyebut Raja Yekonia (Yoyakhin) dari Yehuda, yang telah ditawan oleh orang Babylon. Dari sekitar 580 SM semasa pemerintahan Nebukadnezar II. Artifak ini kini berada di Muzium Vorderasiatisches di Berlin.

Pada akhir abad ke-7 SM, Kerajaan Yehuda merupakan negeri naungan empayar Assyria. Dalam dekad-dekad terakhir abad ke-7 SM, Assyria dijatuhkan oleh Babylon, salah satu wilayah Assyria. Mesir, yang bimbang dengan kebangkitan mendadak empayar Babylon Baru, mengambil alih wilayah Asyur sehingga ke Sungai Furat di Syam, tetapi Babylon menyerang balik. Pada masa yang sama Yosia, raja Yehuda, terbunuh semasa bertempur dengan orang Mesir dalam Pertempuran Megido (609 SM) .

Selepas tentera Firaun Nekho dikalahkan Babylon di Karkemis pada tahun 605 SM, Yoyakim mula membayar ufti kepada Raja Babylon Nebukadnezar II. Beberapa golongan bangsawan muda Yehuda dibawa ke Babylon.

Pada tahun-tahun berikutnya, golongan istana Baitulmuqaddis terbahagi kepada dua pihak, satu menyokong Mesir, satu lagi Babylon. Selepas Nebukadnezar ditewaskan oleh Mesir dalam pertempuran pada tahun 601 SM, Yehuda memberontak terhadap Babylon, menyebabkan pengepungan selama tiga bulan ke atas Baitulmuqaddis pada hujung tahun 598 SM.[9] Yoyakim, raja Yehuda, mangkat semasa pengepungan[10] dan digantikan oleh putera baginda Yoyakhin (juga dipanggil Yekhonya) pada usia lapan belas tahun.[11] Kota itu jatuh pada 2 Adar (16 Mac) 597 SM,[12] dan Nebukadnezar menjarah Baitulmuqaddis dan Kuilnya dan membawa Yekhonya, seisi istana dan golongan pembesar lain (termasuk nabi Yehezkiel) ke Babylon.[13] Zedekia bapa saudara Yoyakim dilantik menjadi raja pengganti, tetapi orang Yahudi yang dibuang ke Babylon tetap menganggap Yekhonya sebagai raja mereka dalam pembuangan, atau pemerintah sebenar yang sah.

Walaupun diberi amaran oleh Nabi Yeremia dan penyokong-penyokong Babylonia lain, Zedekia memberontak terhadap Babylon dan berpakat dengan Firaun Hofra. Nebukadnezar kembali, mengalahkan Mesir, dan sekali lagi mengepung Baitulmuqaddis, mengakibatkan kota itu musnah pada tahun 587 SM. Nebukadnezar memusnahkan tembok kota dan Bait Suci mereka, serta rumah-rumah golongan pembesar. Zedekia dan putera-putera baginda ditangkap dan putera-puteranya dihukum mati di hadapan Zedekia, lalu mata baginda dicungkil dan baginda dibawa ke Babylon bersama ramai yang lain (Yer 52:10–11). Yehuda menjadi wilayah Babylonia, dipanggil Yehud, menamatkan Kerajaan Yehuda yang merdeka (disebabkan tahun-tahun yang hilang dalam kalendar Yahudi, sumber oleh rabai-rabai meletakkan tarikh kemusnahan Kuil Pertama pada 3338 AM (423 SM)[14] atau 3358 AM (403 SM)).[15]

Ilustrasi dalam Tawarikh Nuremberg tentang kemusnahan Baitulmuqaddis di bawah pemerintahan Babylon

Gabenor pertama yang dilantik oleh Babylon ialah Gedalya, seorang penduduk asli Yehuda; dia menggalakkan ramai orang Yahudi yang melarikan diri ke negeri-negeri sekitar seperti Moab, Amon dan Edom untuk kembali, dan berusaha untuk memakmurkan semula negeri itu. Beberapa ketika kemudian, seorang ahli kerabat diraja yang masih hidup membunuh Gedalya dan penasihat-penasihat dari Babylonnya, menyebabkan ramai yang lari ke Mesir. Pada penghujung dekad kedua abad ke-6 SM, selain yang tinggal di Yehuda, terdapat komuniti Yahudi yang besar di Babylon dan di Mesir; ini merupakan permulaan masyarakat-masyarakat Yahudi yang kemudiannya tinggal secara kekal di luar Yehuda sebagai diaspora Yahudi.

Menurut Kitab Uzair, Cyrus Agung dari Parsi menamatkan pembuangan mereka pada 538 SM,[16] tahun selepas baginda menawan Babylon.[17] Pembuangan itu berakhir dengan kepulangan Putera Zerubabel (kerana baginda keturunan raja Daud) dan Imam Besar Yosua (keturunan bekas Imam-imam Besar Bait Suci) dan pembinaan semula Kuil Kedua dari 521 hingga 516 SM.[16]

Rujukan

WikiPedia: Penawanan Babylonia https://books.google.com/books?id=Qjkz_8EMoaUC&pg=... https://books.google.com/books?id=Xx9YzJq2B9wC&pg=... https://foreignpolicy.com/2019/10/19/when-iran-wel... http://www.biu.ac.il/js/rennert/history_4.html https://ms.wikisource.org/wiki/A_Practical_Comment... https://www.wikidata.org/wiki/Q175447#identifiers https://catalogue.bnf.fr/ark:/12148/cb11954206g https://data.bnf.fr/ark:/12148/cb11954206g http://uli.nli.org.il/F/?func=find-b&local_base=NL... https://id.loc.gov/authorities/subjects/sh85070401